PULAU BRUIT (DARO), 24 Feb: Mempunyai potensi besar dalam aktiviti pertanian kerana tanahnya yang subur, para petani di Pulau Bruit menghadapi cabaran akibat masalah benteng penghadang air laut (ban) yang pecah sering merosakkan tanaman mereka.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata meskipun peruntukan RM21 juta telah diluluskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan disalurkan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) tetapi masih banyak benteng yang perlu diberi perhatian dan tindakan segera.

“Premier mencadangkan kaedah penanaman moden, maka sudah tentu warga tani memerlukan bantuan kerajaan d iperingkat awal dari segi khidmat nasihat pakar, bekalan benih yang bermutu tinggi dan pembelian jentera pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada 17 masjid dan sembilan surau menjelang Ramadan di sini, hari ini.
Selain usaha memajukan aktiviti pertanian, Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop turut mengutarakan kepada Abang Johari tentang usaha menambah baik kemudahan untuk warga nelayan dan juga permohonan kepada menteri berkaitan tentang cadangan bagi merancakkan lagi program penternakan lembu dan kambing di Pulau Bruit.
Mengulas lanjut tentang ucapan Premier pada Majlis Perasmian Jambatan Muara Lassa pada Sabtu lepas, beliau mengakui potensi kawasan berkenaan sangat besar ke arah menjadi bakul makanan Sarawak.
Menurutnya, di kawasan ini ada 13 penempatan mempunyai seramai 1,004 pekebun yang mengusaha pelbagai jenis tanaman buah-buahan dan juga 870 pesawah Padi.
Anggaran keseluruhan keluasan tanah yang diusahakan oleh pekebun dan pesawah padi ialah 1,211 hektar.
Dianggar tidak kurang 800 hektar tanah di Pulau Bruit belum diusahakan tetapi berpotensi dimajukan sebagai tapak aktiviti pertanian atau penternakan.
Selain pertanian, Pulau Bruit merupakan pembekal hasil laut.
Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Bruit (PNK) mempunyai keahlian seramai lebih kurang 2,000 orang dengan 900 orang adalah nelayan aktif.
“Dengan siapnya jambatan Batang Paloh dan Muara Lassa menghubungi Pulau Bruit, masyarakat dari kawasan tersebut akan lebih mudah dan cepat untuk membekal dan memasarkan hasil laut dan tani ke pasaran luar,” jelasnya.
Dalam pada itu, penyampaian sumbangan dana itu diadakan secara ringkas di empat lokasi iaitu masjid Kampung Penipah, masjid Kampung Betanak, Dewan Kampung Semop dan Dewan Masyarakat Kampung Melayu Bintangor.
Penerima sumbangan terdiri daripada jawatankuasa 17 masjid dan sembilan surau dalam kawasan DUN Semop.
Jumlah keseluruhan sumbangan ialah RM34,500.00
Tujuan sumbangan ini adalah untuk menampung perbelanjaan aktiviti keagamaan di masjid dan rurau tersebut semasa Ramadan.