JAKARTA, 24 Feb: Angka korban meningkat kepada 15 mangsa selepas sebuah trak yang membawa 32 orang, terbabas dan terjunam ke dalam sungai di wilayah Riau, barat Indonesia, lapor Xinhua, memetik kenyataan seorang pegawai penyelamat kanan pada Isnin.
Menurut Budi Cahyadi, ketua pejabat mencari dan menyelamat wilayah, kemalangan itu berlaku pada Sabtu di Daerah Pelalawan apabila seorang pemandu yang mengantuk hilang kawalan kenderaannya dan terbabas ke dalam sungai Segati.
“Kesemua mangsa kemalangan telah ditemukan hari ini. Jumlah korban akibat kemalangan itu telah mencecah 15 orang,” kata Cahyadi kepada Xinhua melalui telefon.
“Dengan menggunakan bot getah, kami mengacau air untuk mempercepatkan proses terapung mayat. Semua mayat ditemukan selepas ia timbul ke permukaan,” katanya, mengesahkan bahawa 17 orang terselamat dalam kemalangan itu.
Beliau menambah bahawa trak itu mengangkut pekerja dan ahli keluarga mereka, termasuk beberapa kanak-kanak, ke pasar untuk membeli barangan ketika tragedi itu berlaku. -TVS