AUGSBURG (Jerman), 24 Feb: Ahli Parlimen pekak pertama di parlimen Jerman, Heike Heubach daripada Parti Demokratik Sosial (SPD) akan terus berkhidmat di dewan rendah selama empat tahun lagi, menurut keputusan awal pada Isnin, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Heubach, yang bertanding di negeri selatan Bavaria — kubu kuat parti konservatif yang muncul sebagai pemenang utama pilihan raya pada Ahad — berjaya mendapatkan tempat sebagai calon terakhir dalam senarai SPD negeri itu, selepas parti berkenaan hanya memperoleh 14 kerusi di Bavaria secara keseluruhan.
Heubach, 45, pada mulanya terlepas peluang untuk mendapatkan kerusi Parlimen dalam pilihan raya 2021, tetapi tahun lepas, beliau yang merupakan seorang kerani industri terlatih mengggantikan rakan parti yang meninggalkan Bundestag (Dewan Rendah Parlimen).
Jurubahasa bahasa isyarat disediakan untuk Heubach di Parlimen bagi membantunya menjalankan tugas.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pengundi atas kepercayaan yang mereka berikan kepada saya dalam pilihan raya ini,” kata Heubach dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh SPD pada Isnin. – TVS