KUCHING, 23 Feb: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) terus komited dalam memperkukuh pembangunan modal insan di Sarawak menerusi pendidikan dan invoasi digital.
Pengerusinya Datuk Len Talif Saleh berkata, peranan TEGAS adalah membentuk bakat anak muda di Sarawak terutamanya dalam menyediakan akses pendidikan dan pembangunan kemahiran kepada pelajar di bandar dan luar bandar.
“Sebagai sebuah amanah kebajikan dengan misi untuk mempromosikan pendidikan teknikal, ia merupakan sebahagian daripada tugasan portfolio saya.
“Namun, mantan Ketua Menteri, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mahu saya menubuhkan sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk membantu saya mempromosikan pendidikan teknikal terutamanya dalam kalangan belia di kawasan luar bandar,” katanya ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun ke-13 TEGAS dan Majlis Makan Malam Penghargaan Staf TEGAS di sini, malam tadi.
Inisiatif seperti Project Dream Realize, 4DR Roadshow dan South Career and Training Fair menurutnya memberi manfaat kepada ramai pelajar dan graduan untuk memahami hala tuju kerjaya serta memperoleh kemahiran diperlukan dalam dunia pekerjaan.
“Memperjuangkan pendidikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM). Sejak penubuhan kami (TEGAS), kami kekal teguh dengan komitmen untuk mempromosikan pendidikan TVET dan STEM selain memastikan aksesibiliti kepada pelajar di kawasan luar bandar dan bandar.
“Kolaborasi yang kukuh dengan Kementerian Pendidikan, pemimpin industri dan institusi pendidikan memperkukuhkan impak kami dalam membangunkan ekosistem syarikat permulaan (startup) yang mantap,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penubuhan TEGAS Digital Village dan Digital Innovation Hub di Kuching, Bintulu dan Miri serta pusat digital yang dibangunkan oleh agensi lain mencipta persekitaran yang membolehkan syarikat permulaan (startup) menerima bimbingan, sumber daya serta peluang pelancongan.
Mengulas lanjut Len Talif yang juga Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak menjelaskan, inisiatif tersebut memberi impak signifikan, mempengaruhi syarikat, memperkukuh landskap digital di seluruh negara dan menjadikan TEGAS sebagai pemangkin ekonomi penting.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, ADUN Balingian Yakub Arbi, ADUN Krian Friday Belik, ADUN Opar Billy Sujang dan Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS Udin Bujang. – TVS