KUCHING, 23 Feb: Festival Ekspo Umrah dan Pelancongan Islam Sarawak 2025 (SUITEX25) merupakan platform memperkenalkan Pertubuhan Agensi Umrah dan Haji Sarawak (SUHA) sebagai badan berdaftar dan diiktiraf Kerajaan Sarawak dalam industri umrah serta haji.
Pengerusi SUHA, Ruzaiman Ghazalee berkata, ia sekali gus memperkenalkan agensi umrah dan haji bertauliah di Sarawak.
“Ekspo ini juga meningkatkan kesedaran masyarakat Islam di Sarawak mengenai kepentingan memilih agensi umrah dan bertauliah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian SUITEX25 di sini, malam tadi.
Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, sokongan masyarakat Islam adalah penting untuk mengurangkan tanggapan negatif yang sering melanda industri umrah dan haji di Malaysia.
“Dalam SUITEX25, kita menghimpunkan pemain industri, golongan profesional dan badan kerajaan berkaitan dari dalam dan luar negara untuk berkongsi maklumat serta pengalaman demi kebaikan dan kelancaran industri.
“SUHA akan terus komited dalam usaha memastikan industri umrah dan haji dapat berkembang dengan harmoni demi agama dan masyarakat Islam di Sarawak,” ujarnya.
SUITEX25 yang julung kali diadakan menarik minat ribuan pengunjung dan ekspo tersebut dianjurkan SUHA dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan.-TVS