MIRI, 23 Feb: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Miri berjaya menahan seorang lelaki tempatan serta merampas rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai lebih RM330,000 dalam satu operasi di Lebuhraya Pan Borneo, Miri-Bintulu pada 21 Februari lepas.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Sarawak, ACP Ab Rahman Mat Hasan dalam satu kenyataan memaklumkan, tangkapan dibuat kira-kira jam 8.10 pagi oleh sepasukan anggota Unit Risikan Marin (URM) PPM Wilayah 5 semasa menjalankan Op Taring Landai.
“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah van jenis Toyota Hiace berwarna putih yang dipandu suspek mendapati kenderaan itu membawa pelbagai minuman keras dan rokok tanpa cukai serta tidak mempunyai pelekat setem daripada Kastam Diraja Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967 dan telah ditahan untuk siasatan lanjut dan oleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau hukuman penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Manakala semua barangan rampasan telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (BJSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu katanya bagi tempoh 1 Januari hingga 21 Februari 2025, Pasukan Polis Marin Wilayah 5 telah melaksanakan 30 serbuan di seluruh Sarawak dan menahan 32 individu atas pelbagai kesalahan melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar serta kesalahan di bawah Akta Perhutanan Sarawak.
“Keseluruhan nilai rampasan sepanjang tempoh ini dianggarkan berjumlah RM29,378,360.86,” tambah kenyataan itu.
Sebuhungan itu, beliau menegaskan pihaknya akan terus memperketat kawalan dan operasi bagi mengekang jenayah penyeludupan di Sarawak.
Orang ramai turut digalak untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras kegiatan haram ini.-TVS