LONDON, 23 Feb: Seorang pakar podiatri memberi amaran bahawa pengguna TikTok berisiko mengalami “kesakitan dan ketidakupayaan seumur hidup” jika meniru trend tular menjatuhkan objek berat termasuk penggoreng kering dan pembakar roti ke atas kaki mereka, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Pencipta kandungan aplikasi video pendek itu berkongsi rakaman mereka menjatuhkan objek berat – termasuk pembersih vakum, jag kaca dan meja kayu – ke atas kaki dan menilai tahap kesakitan yang dialami.
Tanda pagar #droppingthingsonmyfoot telah digunakan dalam ratusan video.
Luke Pilling dari Bolton menerima lebih 3.8 juta tontonan bagi videonya yang menunjukkan dia melompat kesakitan selepas menjatuhkan pembakar roti, penggoreng kering dan monitor komputer ke atas kakinya.
Ketika ditanya mengapa dia menyertai trend itu, penasihat jualan berusia 19 tahun itu memberitahu agensi berita PA: “Kerana ingin tahu dan ia kelakar. Saya suka menghasilkan kandungan yang membuatkan saya ketawa melihat diri sendiri.”
Bagaimanapun, Dr Benjamin Bullen, pensyarah dalam perubatan podiatri di University of Galway, Ireland, berkata trend itu boleh menyebabkan kecederaan kekal.
“Saya dapati trend TikTok #droppingthingsonmyfeet ini membimbangkan dan menggesa orang ramai agar tidak menyertainya,” katanya kepada PA.
Trend ini menggalakkan peserta menjatuhkan objek rumah yang tajam dan semakin berat ke atas kaki mereka, yang sangat berisiko menyebabkan kecederaan.
TikTok sangat popular dalam kalangan golongan muda, yang mungkin tidak sedar mereka berisiko mengalami kesakitan dan ketidakupayaan seumur hidup jika mengalami kerosakan teruk pada saraf, tulang dan sendi kaki mereka,” katanya. -TVS