KUCHING, 23 Feb: Penerbangan terus antara Kuching dan Jakarta dijangka memacu pelancongan perubatan di Asia Tenggara dengan tumpuan khas diberikan kepada pasaran Indonesia dan negara Asia Tenggara (ASEAN).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia disokong infrastruktur perubatan semakin canggih dan kerjasama strategik melibatkan Kerajaan Sarawak dan pemain industri kesihatan.
“Seperti yang anda maklum, kita mempunyai syarikat penerbangan sendiri. Syarikat penerbangan ini akan berperanan sebagai titik penghubung antara kita dengan dunia khususnya di rantau Asia Tenggara.
“Berdasarkan maklumat terkini, terdapat peningkatan bilangan pelawat yang datang ke sini untuk mendapatkan rawatan terutama dari Indonesia.
“Malah, penerbangan melibatkan Kuching dan Jakarta juga sentiasa penuh,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan cawangan baharu D-Dentist Dental Clinic di Tabuan Jaya hari ini.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak sentiasa bekerjasama dengan pakar dalam bidang perubatan dan tiga hospital antarabangsa dirancang dibangunkan di wilayah ini.
“Apabila hospital yang dirancang beroperasi kelak, sudah pasti mereka membawa pelanggan manakala doktor dan pakar dari luar datang ke sini untuk memberikan rawatan,” ujarnya.
Abang Johari menjelaskan, Sarawak mempunyai kelebihan dalam bidang perubatan terutama dari kos dan Kerajaan Sarawak sentiasa komited membangunkan infrastruktur bersesuaian bagi menyokong industri perubatan.-TVS