SRI AMAN, 23 Feb: Penduduk di Sri Aman berpeluang menjana pendapatan melalui penghasilan produk sabun menggunakan bahan semula jadi daripada tumbuhan tempatan.
Timbalan Pengarah Pusat Keusahawanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof. Madya Dr Siti Kudnie Sahari berkata, program pembuatan ekstrak tumbuhan untuk pembuatan sabun di Sri Aman anjuran UNIMAS membantu memperkasakan komuniti melalui program keusahawanan sosial yang turut disertai lapan pelajar.
Menurutnya, ilmu kejuruteraan memainkan peranan penting dalam proses pembuatan ekstrak tumbuhan dan penghasilan sabun berkualiti tinggi.
“Program ini menggabungkan prinsip asas kejuruteraan bahan dalam memastikan proses pengekstrakan efisien dan penghasilan produk yang memenuhi standard kualiti.
“Pelajar bukan sahaja mempraktikkan teori dipelajari di dalam bilik kuliah tetapi menerapkannya dalam situasi sebenar yang memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Pembuatan Ekstrak Tumbuhan Untuk Pembuatan Sabun di Dewan Suarah Sri Aman pada Sabtu.
Siti Kudnie menjelaskan, komuniti di Sri Aman turut menerima mesin moden bagi memudahkan proses penyediaan ekstrak dengan lebih efisien dan berkualiti tinggi.
Sementara itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UNIMAS Dr Nur Auni Ugong berkata, program tersebut penting untuk mengukuhkan hubungan antara universiti dengan masyarakat setempat.
“Keusahawanan sosial bukan sekadar menghasilkan produk tetapi juga tentang bagaimana inovasi boleh membawa impak positif kepada komuniti.
“Melalui bengkel ini, komuniti Sri Aman dapat mempelajari kemahiran baharu yang boleh membantu mereka dalam menjana pendapatan sementara pelajar UNIMAS memperoleh pengalaman berharga dalam memahami keperluan dan cabaran masyarakat,” ujarnya.
Program itu mendapat tajaan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menggunakan geran di bawah Keusahawanan Sosial Universiti-Komuniti (UCSE). -TVS