PUTRAJAYA, 23 Feb: Kerajaan tidak campur tangan berkenaan tugas pihak berkuasa berhubung tindakan yang diambil terhadap mana-mana pihak, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, ini termasuk dalam soal membasmi gejala rasuah dan pencegahan jenayah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jelas Anwar, tindakan dilakukan oleh agensi – agensi terlibat bertujuan memastikan tatakelola yang baik di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.
“Ada orang kata saya dendam, cari salah. Tak benar kerana saya beri kebebasan sepenuhnya. Saya beritahu Jemaah Menteri, kita tidak campur.
“Kita beri kebebasan kepada PDRM menjalankan kerja mereka, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan tugasnya kutip cukai dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk cegah salah guna kuasa dan rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Alamanda Berwajah Baharu di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings (PJH), Datuk Izwan Hasli Mohd Ibrahim.
Tegas beliau lagi, keputusan badan penguat kuasa mengambil tindakan tegas kepada pihak terlibat adalah untuk menghentikan amalan tidak beretika yang hanya menguntungkan pihak tertentu tetapi memberi kerugian besar kepada negara dan rakyat secara amnya.
Sementara itu, bersempena bulan Ramadan yang dijangka bermula awal bulan depan, Anwar berkata ia akan menjadi masa terbaik untuk umat Islam meningkatkan nilai kerohanian dan menyelami dimensi sosial masyarakat.
“Apa dia maksud (nilai kerohanian) dalam masyarakat kita? Tentunya prinsip penghargaan kepada Tuhan. Bukan nak tunjuk kepada manusia.
“Dimensi sosial pula supaya kita tahu apa erti lapar, dahaga kerana ramai di sebelah sana, jiran kita, orang kampung itu hidup dalam kesusahan,” katanya. -TVS.