SERIAN, 23 Feb: Empat cedera parah selepas dua kenderaan bertembung berhampiran Kampung Pichin di Jalan Serian-Tebedu di sini, hari ini.
Komander Operasi, Bujang Ina berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian menerima panggilan berhubung kes itu pada jam 2.20 petang dengan menggerakkan lima anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah van sewa jenis Nissan Urvan yang membawa penumpang seramai enam orang bertembung dengan sebuah Perodua Myvi yang memuatkan tiga orang penumpang.
“Semua mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan dengan bantuan orang awam yang berada di tempat kejadian sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba bertindak menggunakan jentera EMRS untuk menghantar empat orang mangsa yang terdiri daripada tiga lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa yang mengalami kecederaan parah ke hospital bagi mendapat rawatan.
“Lima orang mangsa yang mengalami kecederaan ringan terdiri daripada empat wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki dihantar ke hospital menggunakan kenderaan awam yang berada di tempat kejadian,” ujarnya.-TVS