KUCHING, 23 Feb: Pesawat baharu milik Sarawak iaitu Air Borneo berpotensi menjadi sebuah syarikat penerbangan setanding dengan syarikat penerbangan terkemuka dunia seperti Emirates.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, Air Borneo juga berpotensi untuk menjadi salah satu syarikat penerbangan terbesar di dunia.
“Kami mahu Air Borneo menjadi seperti Emirates. Emirates bukan hanya sebuah syarikat penerbangan mewah, tetapi ia juga salah satu syarikat penerbangan terbesar di dunia.
“Ia bukan hanya syarikat penerbangan terbesar, anda boleh lihat Dubai 40 tahun yang lalu, tiada siapa yang pernah mendengar tentang Dubai. 40 tahun kemudian, orang ramai sudah mendengar tentang Dubai. Dubai kini menjadi hab serantau untuk perdagangan dan perbankan atas sebab-sebab tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Borneo International Consumer Expo 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Dr. Sim juga menekankan bahawa Air Borneo akan memainkan peranan penting dalam sistem pengangkutan yang lebih besar.
Perkembangan ini katanya, adalah untuk masa depan Sarawak, dengan visi untuk menjadikan Sarawak sebagai hab serantau.
“Dalam 40 tahun dari sekarang, kami mahu Sarawak berkembang dan maju dengan jayanya kerana Air Borneo akan menjadikan Sarawak sebagai hab serantau untuk semua aktiviti ini,” tambahnya.-TVS