PENAMPANG, 23 Feb: Seramai 110 usahawan muda Sabah terpilih untuk menyertai Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) SME Corp yang menawarkan Geran Permulaan Perniagaan sehingga RM15,000.
Program berbentuk latihan asas keusahawanan itu menyasarkan untuk melatih 500 bakal usahawan bermula di Sabah sebelum diteruskan ke empat zon lain iaitu Sarawak, Zon Utara, Zon Pantai Timur serta Zon Tengah dan Selatan, Semenanjung Malaysia.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, program TUBE direka khas untuk membentuk belia yang bukan saja memulakan perniagaan, tetapi juga dilengkapi dengan pengetahuan asas keusahawanan dan pendedahan kepada landskap perniagaan sebenar.
Katanya, sebagai langkah anjakan paradigma, TUBE bertujuan melahirkan belia Bumiputera yang bukan sekadar pencari kerja, tetapi pencipta pekerjaan melalui keusahawanan.
“Hari ini saya berkesempatan untuk melancarkan program Tunas Usahawan Belia Bumiputera yang telah dilaksanakan tahun ke-11 pada tahun ini dan kita akan membimbing 503 peserta di seluruh negara.
“Saya percaya gerakan keusahawanan seperti ini dapat mengeluarkan Sabah daripada kepompong kemiskinan tegar yang banyak kali disebut dalam pelbagai platform,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran TUBE 11 di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Pengerusi SME Corp, Tan Sri Bernard Giluk Dompok.
Ewon berkata, KUSKOP akan mencadangkan agar program TUBE ini diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RM Ke-13) dengan penambahbaikan yang lebih berfokus untuk meningkatkan keberkesanan dan meluaskan capaiannya di seluruh negara.
“Sejak dilaksanakan 10 tahun pertama ini telah mengeluarkan 8,543 usahawan belia dan telah berjaya menyediakan peluang pekerjaan 15,872. Saya fikir ini satu pencapaian.
“Sebab itu saya menyatakan dalam ucapan saya untuk buat libat urus Persatuan Alumni TUBE Sabah seperti mana yang saya telah laksanakan dalam dua tahun pertama ini untuk mendengar apakah cabaran mereka.
“Sebab libat urus inilah yang memastikan saya dan kementerian dapat merangka program dan inisiatif yang bersesuaian mengambil kira pengalaman-pengalaman yang telah dilalui oleh peserta program tadi. Kalau ada kegagalannya apa? Supaya kita boleh merancang untuk perancangan Malaysia ke-13,” katanya.
Ewon berkata, para usahawan diharap akan mengambil peluang daripada perkhidmatan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan.
Katanya, sepanjang tahun lalu, KUSKOP telah menyalurkan pembiayaan bernilai RM813 juta kepada usahawan serta koperasi di Sabah dan lebih RM1 bilion di Sarawak. – TVS