KUCHING, 22 Feb: Peranan dimainkan kakitangan kerajaan pelbagai agensi dalam melaksana tanggungjawab diamanahkan sesungguhnya amat penting.
Kredibiliti mereka dengan bidang khusus yang tersendiri disifatkan sebagai daya penggerak serta penyumbang kepada transformasi pembangunan sesebuah kawasan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.25 Simunjan, Awla Dris memberitahu, kredit berganda diperoleh pihaknya di Daerah Simunjan yang memiliki barisan kakitangan kerajaan dari pelbagai agensi berkualiti.
Ia mengambil kira peranan mereka yang semakin efektif dalam melaksana tugas serta tanggungjawab.
Sekali gus, menjurus sebagai agen pelaksana program atau agenda pembangunan yang dirancang oleh Kerajaan Sarawak selama ini.
“Kita di Daerah Simunjan sesungguhnya amat beruntung kerana mempunyai barisan kakitangan kerajaan pelbagai agensi yang cukup efektif.
“Tampak jelas peranan dimainkan mereka tatkala melaksanakan tugas yang diamanahkan,” ujar Awla.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Agensi-Agensi Pelaksana Daerah Simunjan 2025 di salah sebuah hotel terkemuka di bandar ini malam tadi.
Menurut Awla, tanpa adanya kudrat, pengalaman serta kemahiran dimiliki golongan terbabit sukar untuk menyaksikan segala projek yang dirangka mahu pun dilaksana berjalan lancar mengikut jadual ditetapkan.
Justeru, beliau menyifatkan pengelolaan majlis makan malam tersebut yang dilihat sebagai memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada mereka.
“Kecemerlangan tugas yang dilaksana golongan terbabit atau lebih signifikan sebagai agensi pelaksana yang mencerminkan perkembangan serta kemajuan positif,” tambah Awla.
Sokongan daripada semua pihak terbabit amatlah dialu-alukan bagi merancakkan lagi usaha pembangunan Daerah Simunjan secara holistik. -TVS