SRI AMAN, 22 Feb: Sarawak Infectious Disease Centre (SIDC) mengadakan sesi taklimat kepada penduduk rumah panjang yang terlibat dalam projek rintis Program Survelan Penyakit (DSP) di Rumah Bair, Kampung Sebangkoi, Ulu Undop, Sri Aman.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis menyeru penduduk untuk memberikan sokongan penuh terhadap program berkenaan.
“Saya teruja melihat penglibatan ramai doktor perubatan dalam program ini. Ini membuktikan komitmen tinggi SIDC terhadap kesejahteraan kesihatan penduduk luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program rintis Disease Surveillance (DSP) di Rumah Bair, Kampung Sebangkoi, Ulu Undop, Sri Aman, pada Jumaat.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIDC, Prof Madya Dr Ivan Yap Kok Seng, yang memaklumkan bahawa DSP merupakan inisiatif pertama SIDC dan berharap agar penduduk kampung memberikan kerjasama penuh demi kebaikan kesihatan komuniti.
Seramai 17 pegawai SIDC terlibat dalam sesi taklimat tersebut, manakala kira-kira 100 penduduk dari Kampung Sebangkoi, Kampung Sungai Putong, dan Kampung Sebujok turut hadir.
Untuk rekod, projek rintis Disease Surveillance Programme (DSP) berlangsung selama tiga hari bermula dari 27 Februari hingga 1 Mac 2025. -TVS