DARO, 22 Feb: Sarawak akan membelanjakan kira-kira RM6 bilion hingga tahun 2030 untuk melaksanakan projek bekalan air di kawasan luar bandar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keperluan bekalan air air bersih dilihat semakin mendesak disebabkan pembangunan pesat di Sarawak terutama di kawasan luar bandar.
“Sebelum ini, projek rakyat bernilai RM4 bilion dilaksanakan dan dalam Rancangan Malaysia ke-13, ditambah lagi RM600 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jambatan Muara Lassa di Daro hari ini.
Sebelum ini, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, Kerajaan Sarawak komited untuk menyediakan bekalan air bersih dan mencukupi ke seluruh wilayah ini menjelang tahun 2030 menerusi pelaksanaan Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan Sistem Grid Bekalan Air Sarawak.
Katanya, pelan induk itu bertujuan memastikan setiap kawasan terutama luar bandar bagi mendapat bekalan air yang mencukupi.
Sementara itu, Abang Johari berkata, paip lama juga perlu diganti kerana mudah pecah apabila aliran air terlalu deras.
“Kos penggantian paip dianggarkan RM1.1 bilion dan peruntukan sudah tersedia untuk memastikan bekalan air lebih stabil.
“Kami sedar pembangunan ini memerlukan dana besar dan usaha mencari sumber kewangan juga sedang dijalankan,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nasar, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad. – TVS