KUCHING, 22 Feb : Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tetap meluangkan masa menyantuni peniaga dan pengunjung sempena Program Tinjauan Mesra di Pasar Malam Metrocity Matang di sini, malam ini, meskipun mempunyai jadual harian yang padat.
Beliau tiba di lokasi pada jam 8.35 malam dengan menunggang motosikal Honda Goldwing tiga tayar, mencuri perhatian ramai yang hadir.
Sebagai tanda kenang-kenangan, Abang Johari turut menandatangani plak bertulis “Premier Sarawak Ada Santai Sitok,” yang menjadi simbolik kehadiran beliau ke pasar malam tersebut.
Dalam lawatan itu, Abang Johari beramah mesra dengan peniaga, termasuk di gerai AZ Blind Massage, selain meninjau gerai pendaftaran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).
Beliau turut mengunjungi gerai tanaman dan pokok sebelum membeli beberapa tanaman seperti limau purut dan durian Musang King, selain membeli buah cempedak sebagai tanda sokongan terhadap produk jualan tempatan.
Santapan malam beliau turut mencuri perhatian apabila memilih untuk menikmati Char Kuey Teow di Tapak Kuning sambil berinteraksi dengan pengunjung yang berada di sekitar kawasan tersebut.
Turut mengiringi beliau dalam lawatan ini ialah Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Dr. Zaiedi Suhaili serta Pengerusi Pasar Malam Belia Metrocity 2, Mohamad Khairuzie Bolhassan. – TVS