Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata lebih 350 sukarelawan menyertai Gotong-Royong Perdana bagi membersihkan Kampung Lereng Bukit yang terjejas akibat tanah runtuh. Foto Mohammad Fauzi Jaini (TVS)

Pakar diperlukan kaji tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit

ByNur Suhaida Muliyono

MIRI, 22 Feb: Khidmat kepakaran jurutera dan Jabatan Kerja Raya (JKR) diperlukan bagi menyelidik kejadian tanah runtuh yang melanda Kampung Lereng Bukit, Miri.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, tiga rumah yang terjejas teruk dengan sebahagiannya ditimbus tanah runtuh termasuk kenderaan penduduk.

“Nampaknya, ada tiga rumah di kampung ini yang menghadapi keruntuhan tanah yang begitu serius sehingga terkena pada harta benda termasuk kereta. Ini telah kita pantau tadi.

“Kita perlu minta bantuan JKR dan perlu menggunakan jentera. Ini satu tugas berlainan. Kita perlukan jurutera untuk memantau keadaan dan juga bagaimana kita boleh bersihkan kawasan ini memandangkan ia terletak di tepi bawah bukit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di lokasi kejadian semasa acara Gotong-Royong Perdana di Kampung Lereng Bukit di sini hari ini.

Kim Shin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri menjelaskan mangsa insiden disediakan penginapan sementara oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) sehingga penyelesaian jangka panjang ditentukan.

“Perkara itu masih diuruskan oleh Pejabat Residen Miri. Ada antara penduduk yang menyewa, mereka bukan pemilik rumah di kampung ini.

“Kita berikan penginapan sementara kepada mereka dan selepas itu mereka perlulah mencari juga rumah-rumah sewa baharu,” ujarnya.

Lebih 350 sukarelawan menyertai Gotong-Royong Perdana bagi membersihkan Kampung Lereng Bukit yang terjejas.

Secara keseluruhan, seramai 1,058 sukarelawan digerakkan dalam operasi pembersihan yang menyasarkan 11 lokasi terjejas di seluruh Miri dalam tempoh seminggu.

Dalam pada itu salah seorang penduduk Kampung Lereng Bukit, Maliah Yunus menzahirkan rasa terharu dan berterima kasih atas usaha seluruh warga Miri yang terlibat dalam aktiviti Gotong-Royong Perdana bagi membersihkan kawasan terjejas akibat tragedi tanah runtuh.

Beliau juga berharap dapat membawa kakaknya yang menetap di rumah tersebut, berpindah ke tempat baharu yang lebih selamat.

“Kami lebih dari gembira apabila semua warga bandar Miri terlibat dalam gotong-royong ini terutamanya badan bukan kerajaan (NGO), ketua-ketua jabatan, Ahli-Ahli Yang Berhormat. Semua datang untuk melihat keadaan sebenar rumah ini.

“Ini bukan kejadian kali pertama tetapi sudah kali ketiga. Kami berharap dikeluarkan dari tempat ini terutamanya keluarga kami, kakak saya yang sudah berusia lebih 70 tahun.

“Rumah ini sekarang dikosongkan tetapi sekali sekala kami datang menjenguk. Kalau hendak ditinggalkan terus, memang sedih kerana kami semua dibesarkan di rumah ini,” jelasnya.

Tragedi tanah runtuh pada hujung Januari lalu meragut lima nyawa sekeluarga dan dianggap sebagai insiden terburuk dalam sejarah Miri. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan