KUCHING, 22 Feb: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) sentiasa memberikan sokongan terhadap penganjuran aktiviti sihat serta memberi manfaat kepada masyarakat terutama belia.
Setiausaha Tetap MYSED, Morshidi Fredrick berkata, penganjuran aktiviti seperti Underground Fast Culture 2025 dan Kenyalang Slingshot bukan sahaja menarik minat penyertaan dari Sarawak malah penyertaan luar.
“Penganjuran aktiviti seperti ini melibatkan ramai orang terutama belia bukan sahaja dari Sarawak tetapi juga negara luar seperti Thailand, Jepun dan beberapa negara lain.
“Jadi, aktiviti seperti ini menyumbang kepada peningkatan ekonomi terutama dari segi pelancongan dan pendapatan peniaga tempatan.
“Pertunjukan kira-kira 200 kereta pelbagai jenis juga merupakan bidang baharu dalam permotoran untuk belia di Sarawak,” katanya pada sidang media Underground Fast Culture 2025 di Tempat Letak Kereta Sarawak Plaza hari ini.
Sementara itu, Penganjur Underground Fast Culture 2025, Adibazli Affendi berkata, sebanyak 200 kenderaan pelbagai jenis dipamerkan yang disertai peserta dari Semenanjung Malaysia, Sabah, Singapura, Brunei, Jepun dan Thailand.
“Pertunjukan ini bertujuan untuk mempromosikan Sarawak sebagai antara pemain utama dalam bidang automatif. Oleh itu, kami menjemput rakan-rakan dari Semenanjung Malaysia termasuk dari luar iaitu Thailand dan Jepun untuk turut sama sekali gus mempromosikan Sarawak dalam bidang ini.
“Selain itu, kami juga mempunyai acara sampingan yang lain seperti cabutan bertuah, pameran kereta dan persembahan daripada artis jemputan iaitu dari Noh Salleh,” ujarnya.
Menurutnya, pertunjukan kereta hari ini merupakan sebahagian daripada acara utama Fast Culture 2025 yang akan diadakan di Stadium Sarawak bermula 3 hingga 4 Mei 2025.
Bagi penjualan tiket pula katanya, harga bermula daripada Rm99 (satu hari) dan Rm180 (dua hari) bagi Standing Zone manakala bagi Rock Zone pula bermula RM150 (satu hari) dan Rm300 (dua hari).
“Untuk hari ini sahaja, kita ada membuat promosi tiket iaitu RM100 (dua hari) bagi Standing Zone dan RM200 (dua hari) bagi Rock Zone. Pembelian tiket adalah secara atas talian www.fast-cult.com,” jelasnya.
Adib berharap penganjuran kali ini dapat menarik lebih 15,000 pengunjung untuk datang dan melihat sendiri pelbagai jenis kenderaan.
Selain itu katanya, terdapat juga persembahan daripada artis jemputan antaranya Hujan, Joe X Sona, OAG, No Good, Adruce Azman dan ramai lagi.
“Penjualan tiket telah kita mulakan. Untuk peserta yang akan ikut serta pada Mei kelak, setakat ini kita menerima 500 penyertaan dan kita menyasarkan lebih 1,000 penyertaan. Hadiah utama yang akan diberikan kepada pemenang untuk Underground Fast Culture 2025 ialah sebuah Toyota Alphard,” kata Adib.
Menyentuh mengenai penganjuran hari ini, Adib berkata, pemenang cabutan bertuah akan mendapat sebuah basikal elektrik dan skuter elektrik.
Dalam pada itu, terdapat juga pertandingan sampingan seperti Kenyalang Slingshot iaitu permainan tradisional yang dimodenkan semula.
Koordinator Kenyalang Slingshot, Hamizal Rosli berkata, permainan Slingshot terbuka kepada peserta berusia 18 tahun ke atas.
“Pertandingan ini merupakan pertama kali dianjurkan sekali gus mempromosikan sukan ini kepada masyarakat.
“Cara permainannya ialah ada dua kategori jarak iaitu lapan meter dan 10 meter. Setiap seorang pemain akan menembak dari jarak lapan meter dan seterusnya menembak dari jarak 10 meter dengan menggunakan 23 bearing. Tiga bearing percubaan manakala 20 bearing untuk pertandingan,” ujarnya. – TVS