KUCHING, 22 Feb: Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata menzahirkan penghargaan kepada Datuk Ibrahim Darus atas segala jasa dan sumbangan semasa beliau memegang jawatan khususnya dalam memberikan idea serta saranan bernas dalam membuat keputusan penting demi kesejahteraan Polis Kontinjen Sarawak.
Menurut Mancha, cara kepimpinan, kebijaksanaan dan semangat setia kawan Ibrahim sepanjang menjadi Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak menjadi pemangkin kepada pencapaian dan kejayaan cemerlang yang dicapai oleh Kontinjen Sarawak dalam pelbagai bidang.
“Sikap profesionalisme beliau amat disegani bukan sahaja warga PDRM Sarawak, malah oleh barisan kepimpinan tertinggi kerajaan negeri dan Astana Negeri,” katanya pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak yang berlangsung di Dewan Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, pada Jumaat.
Mancha turut menekankan kecekapan dan kebijaksanaan Ibrahim dalam menilai serta menghurai keputusan penting yang menggambarkan keperibadian beliau sangat istimewa.
Menurut Mancha, sikap positif beliau dijadikan teladan terutamanya dalam memperkasakan integriti, keteguhan prinsip, jati diri serta kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada ketua dan pasukan.
Ibrahim kini bertukar tempat tugas sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Bukit Aman dan melapor diri pada 17 Februari lalu.
Majlis penghargaan tersebut turut dihadiri Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak, Datin Jennita William, bekas Naib Pengerusi PERKEP Sarawak Datin Zanilatun Kamariah Zakaria serta isteri Ketua Jabatan Pengurusan Sarawak, Norhasmah Hasan. -TVS