MIRI, 22 Feb: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) digalak untuk menggunakan teknologi terkini termasuk telefon pintar bagi memperkasa penyampaian maklumat dan perkhidmatan kepada komuniti.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin mencadangkan agar Kolej Komuniti Miri mengadakan semula kursus khas bagi melatih KMKK dalam penggunaan telefon pintar seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini.
“Pada masa kini, telefon bimbit merupakan peranti yang sangat penting untuk digunakan.
“Kita sudah tidak gunakan khidmat faks, justeru semua KMKK harus pandai menggunakan telefon bimbit.
“Sebarang masalah atau hebahan boleh dipanjangkan dengan lebih cepat kepada pihak berkaitan melalui telefon pintar, termasuk dasar-dasar baharu kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Gongxi Raya Tahun Baharu Cina 2025 di sini hari ini.
Terdahulu Kim Shin turut hadir pada Majlis Makan Tengah Hari Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Teochew Miri serta Perhimpunan Tahun Baharu Cina Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE) Miri.
Beliau juga menyantuni hampir 200 warga emas di PPWE termasuk menyampaikan sumbang ang bao kepada penerima berusia 80 tahun ke atas.
Selain itu, Kim Shin menyumbangkan RM20,000 kepada PPWE bagi menyokong penganjuran aktiviti komuniti itu. -TVS