Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemeriksaan tertumpu kepada barangan keperluan utama bulan Ramadan seperti bawang besar kuning, bawang besar merah import, bawang putih (China), halia tua import, tomato, dan ubi kentang import (China). Foto fail TVS

Kawalan harga diperketat menjelang Ramadan

BySuara Sarawak

KUCHING, 22 Feb: Langkah kawalan harga terus diperketat menjelang Ramadan untuk mengelakkan kenaikan harga tidak munasabah, terutama bagi barangan keperluan asas yang mengalami peningkatan permintaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Dr Fuziah Salleh, berkata pemeriksaan telah dijalankan di pasar borong bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan harga yang ditetapkan.

“Kita menyerahkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 untuk mendapatkan akses kepada maklumat harga beli, harga jual, import, penyimpanan, pengangkutan, serta kos operasi. Ini dijadikan data bagi mengenal pasti sekiranya berlaku pencatutan.

“Sebanyak 177 notis telah dikeluarkan kepada pengimport dan pemborong sejak 1 Oktober 2024, termasuk dua Notis Bertulis (NB) yang diserahkan kepada syarikat terpilih bagi mendapatkan maklumat harga barangan, kos serta harga jualan semasa,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan Ops Kita Gempur Edisi Sarawak dekat Terminal Bas Kuching Sentral, di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan tertumpu kepada barangan keperluan utama bulan Ramadan seperti bawang besar kuning, bawang besar merah import, bawang putih (China), halia tua import, tomato, dan ubi kentang import (China).

“Tindakan ini bertujuan untuk memastikan tiada pihak yang mengambil keuntungan berlebihan, sekali gus memastikan harga kekal dalam kadar yang berpatutan.

“Setakat ini, tiga kertas siasatan telah dibuka berdasarkan hasil pemeriksaan yang dilakukan sejak Oktober lalu.
Pemantauan sepanjang Ramadan juga akan dilakukan dengan lebih kerap, khususnya di bazar Ramadan untuk memastikan pengguna tidak terbeban dengan harga yang melampau,” jelasnya.

Tambahnya, pemeriksaan turut merangkumi pematuhan penandaan harga dan penggunaan alat timbang serta sukat yang telah ditentusahkan selari dengan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan