Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali

GPS tegas pertahan hak minyak, gas Sarawak

ByConnie Grace

KUCHING, 22 Feb: Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak pernah mengkhianati hak Sarawak melibatkan sumber minyak dan gas sebaliknya berjaya mendapatkan semula banyak hak dalam tempoh sedekad ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, GPS komited dalam mempertahankan hak dan autonomi negeri khususnya dalam pengurusan sumber asli.

Menurutnya, di bawah Perlembagaan Persekutuan, kuasa Persekutuan terhadap petroleum masih tertakluk kepada hak negeri ke atas tanah dan sumber asli seperti yang termaktub dalam Senarai Negeri.

“Justeru, GPS tidak pernah menyatakan bahawa PDA 1974 mengatasi undang-undang atau hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam satu kenyataan media sebagai respons terhadap dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong mengenai Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) dan tuduhan hak petroleum Sarawak telah terpinggir.

Selain itu, beliau berkata, sejak 2020 Sarawak mendapat semula kawalan penuh ke atas perlombongan di daratan.

“Sebagai bukti, lesen perlombongan telah diberikan kepada PETROS untuk meneroka dan menghasilkan petroleum di Adong Kechik West, Miri dengan pengeluaran minyak dijangka bermula dalam beberapa bulan lagi yang pertama dalam lebih 50 tahun.

“Selain itu, sebelum PETROS ditubuhkan, Sarawak tidak mempunyai sebarang hak atau ekuiti dalam bidang minyak dan gas luar pesisir. Kini, PETROS memiliki ekuiti dalam lima blok minyak dan gas di Pelantar Benua menjadikannya syarikat minyak dan gas ketiga terbesar di Malaysia dengan pendapatan tahunan RM4 bilion setahun.

“PETROS akan terus berkembang dan terlibat dalam penerokaan minyak serta gas di luar pesisir. Ia juga berpotensi menjadi peneraju dalam pembangunan rizab gas yang kaya di perairan barat Sarawak,” ujarnya.

Manakala, dalam sektor hiliran, Sarawak kini mengawal pengedaran gas dalam negeri melalui Ordinan Pengedaran Gas 2016 serta bertekad untuk memastikan sumber gas digunakan secara mampan, memandangkan 94 peratus gas asli yang dihasilkan di negeri ini dieksport yang tidak memberi manfaat optimum kepada rakyat.

Sebagai langkah strategik tambahnya, Sarawak memperoleh jaminan 1.2 bilion kaki padu gas sehari (bmmsfd) untuk menyokong Pelan Hala Tuju Gas Negeri.

Menurutnya, langkah tersebut akan menarik lebih banyak pelaburan asing, menyokong peningkatan penjanaan tenaga dan menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga bersih ASEAN seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan