BANGI, 22 Feb: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petrolium Sarawak Berhad (PETROS) dijangka akan bekerjasama rapi dalam pelbagai bidang berkaitan susulan pengiktirafan terhadap Ordinan Pengagihan Gas (GDO) (Pindaan) 2016, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, beliau serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof juga akan bertemu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk membincangkan butiran kerjasama melibatkan kedua – dua entiti berkenaan.
Jelas beliau, mesyuarat berkenaan penting untuk memutuskan bentuk kerjasama membabitkan PETRONAS dengan syarikat milik Kerajaan Sarawak itu.
“(Sebelum ini) kesepakatan kita yang telah dipersetujui bersama oleh saya, Kerajaan Malaysia, Premier Abang Johari dan Kerajaan Sarawak adalah menerima kenyataan tentang undang – undang tetapi yang pentingnya ialah supaya projek -projek di Sarawak terutama yang baharu sama ada yang diterokai oleh PETRONAS atau PETROS akan melibatkan kerjasama yang rapi.
“Ini dalam semua bidang, saya dan Datuk Seri Fadiillah (Yusof) akan menghubungi Kerajaan Sarawak dan kalau boleh kita panggil perjumpaan supaya susun, dengar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan Madani 2025 di Bangi, Selangor di sini hari ini.
Turut menyertai Anwar ialah dua timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah.
Pada sesi penerangan di Dewan Rakyat 17 Februari lepas, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak memperakui serta mengiktiraf Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974 sebagai Akta Persekutuan yang mengiktiraf DGO 2016 (Pindaan) yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2025.
Menerusinya PETROS diberi jaminan untuk memperolehi 1.2 bilion kaki padu gas asli sehari untuk keperluan domestiknya dengan jaminan penambahan berdasarkan keperluan.
Susulan itu Abang Johari berkata, PETROS sedia bekerjasama dengan PETRONAS dalam sektor minyak dan gas di wilayah berkenaan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, setakat ini beliau berpendapat penyelesaian yang dicapai itu merupakan yang terbaik untuk kedua – dua pihak. -TVS.