WASHINGTON, 22 Feb: Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat akan mengurangkan tenaga kerja awamnya sekurang-kurangnya lima peratus mulai minggu depan.
Memetik laporan AFP, Darin Selnick, yang menjalankan tugas sebagai Setiausaha Pertahanan bagi Personel dan Kesiagaan, berkata Pentagon dijangka mengurangkan antara 5% hingga 8% tenaga kerja awamnya.
Selnick dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, langkah itu bertujuan untuk meningkatkan kecekapan serta memberi fokus semula kepada keutamaan presiden dan memulihkan kesiagaan pasukan.
Tambahnya, ia juga sejajar dengan usaha meningkatkan kecekapan serta memenuhi keutamaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Menurut kenyataan itu lagi, fasa awal pemotongan akan menyaksikan pemberhentian kira-kira 5,400 pekerja percubaan, diikuti pembekuan pengambilan pekerja sementara jabatan itu menilai semula keperluan tenaga kerjanya.
Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth, menegaskan bahawa pengekalan pekerja yang tidak mempunyai peranan kritikal bukanlah untuk kepentingan awam.
“Kita mulakan dengan pekerja percubaan yang menunjukkan prestasi kurang memuaskan,” katanya seperti yang dipetik dalam laporan AFP.
Keputusan ini selaras dengan usaha lebih meluas pentadbiran Trump untuk mengecilkan jumlah tenaga kerja persekutuan, dengan ribuan pekerja kerajaan telah diberhentikan di bawah langkah yang sama. – TVS