DARO, 22 Feb: Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Daro kini memiliki bangunan baharu untuk meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan kepada komuniti setempat.
Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nasar, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Dewan Undangan Negeri Daro, Safiee Ahmad serta Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Pada majlis tersebut, satu taklimat disampaikan mengenai pembangunan projek bangunan baharu PDK Daro oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan penerangan mengenai program pemulihan komuniti yang akan dijalankan.
Majlis perasmian turut diserikan dengan sesi menandatangani plak perasmian bangunan baharu itu.
Abang Johari kemudian hadir ke tapak Projek Pembangunan Tebingan Sungai Daro (Waterfront Daro) untuk melancarkan satu lagi inisiatif pembangunan yang dijangka menjadi daya tarikan baharu kawasan tersebut.
Pada majlis tersebut, beliau menerima taklimat ringkas daripada Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak mengenai rancangan pembangunan tebingan tersebut.
Terdahulu, Abang Johari hadir merasmikan Jambatan Muara Lassa yang siap dan dibuka kepada orang ramai pada 9 Januari lalu.
Jambatan sepanjang 2.43 kilometer itu merupakan jambatan kedua terpanjang di Sarawak dan menelan kos hampir RM600 juta. – TVS