KUCHING, 20 Feb: Sarawak dan United Kingdom (UK) sedang berbincang mengenai usaha memperkukuh hubungan legislatif melibatkan kedua-dua pihak.
Perkara tersebut dibincangkan menerusi kunjungan hormat Speaker of the House of Commons United Kingdom, Lindsay Hoyle kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar di Bangunan DUN Sarawak pada Khamis.
Kunjungan hormat yang disusuli dengan jamuan tengah hari yang dihoskan oleh Speaker DUN Sarawak itu diteruskan dengan lawatan ke Dewan Mesyuarat (Chamber) dan melihat keunikan reka bentuk Kompleks DUN Sarawak.
Hadir sama Pemangku Pesuruhjaya Tinggi, Suruhanjaya Tinggi British David Wallace, Ketua Staf Pejabat Speaker UK Helen Wood, Timbalan Ketua Staf Pejabat Speaker UK David Clark, Pegawai Institusi dan Tadbir Urus, Suruhanjaya Tinggi British Farah Nor dan Pegawai Perhubungan Kerajaan dan Protokol, Suruhanjaya Tinggi British Iman Hamdan.-TVS