Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan UNIMAS, Dr Dzul Hadzwan Husaini. Foto (TVS)

Sarawak berpotensi jadi pemain utama tenaga serantau

ByVanessa Enjop

KUCHING, 21 Feb: Sarawak mempunyai potensi besar untuk menjadi pemain utama dalam sektor tenaga serantau menerusi inisiatif membekalkan tenaga elektrik ke negara jiran seperti Filipina dan Singapura.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr. Dzul Hadzwan Husaini berkata, usaha Sarawak untuk mengeksport tenaga bukan sahaja dapat meningkatkan hasil negeri tetapi juga mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam pasaran tenaga ASEAN.

“Inisiatif ini akan menyeimbangkan perdagangan dalam sektor tenaga dan merangsang pertumbuhan ekonomi domestik. Walaupun Malaysia masih mengimport produk tenaga lain, peningkatan eksport tenaga boleh menambah hasil negara serta mempererat hubungan serantau. Ini juga akan memperluas pengaruh ekonomi Malaysia dan mengukuhkan kerjasama pasaran tenaga di ASEAN,” katanya ketika dihubungi TVS pada Khamis.

Menurutnya, rancangan Sarawak untuk membekalkan tenaga elektrik ke Filipina melalui Sabah juga dilihat sebagai strategi penting dalam memperkukuh keterjaminan tenaga negara.

“Sarawak memiliki rizab tenaga yang mencukupi hasil daripada sumber tenaga hidro dan tenaga boleh baharu yang lain. Ini memberi kelebihan kepada negeri ini untuk menjadi pembekal utama tenaga di rantau ini.

“Singapura, walaupun bersaiz kecil mempunyai permintaan tenaga yang tinggi dan ekonominya lebih besar daripada Malaysia, menjadikan projek ini sebagai satu peluang besar,” ujarnya.

Dari segi jangka panjang pula, beliau berpendapat pembangunan sektor tenaga di Sarawak dijangka akan memberi impak positif terhadap pembangunan sosioekonomi wilayah ini.

“Keuntungan daripada eksport tenaga boleh disalurkan kembali kepada rakyat melalui pembangunan pendidikan, kesihatan dan infrastruktur asas. Selain itu, pertumbuhan sektor tenaga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, mempercepatkan urbanisasi dan mengukuhkan sistem perniagaan tempatan.

“Kesannya, Sarawak bukan sahaja menjadi hab tenaga serantau tetapi juga menikmati kemajuan infrastruktur serta peningkatan taraf hidup rakyat,” jelasnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan komitmen untuk memperkukuh sektor tenaga di Sarawak termasuk mempercepatkan pembangunan tenaga boleh baharu sebagai sebahagian daripada agenda peralihan tenaga negara.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan