KUCHING, 21 Feb: Sarawak bertekad untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan yang diraih pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 dalam edisi seterusnya di Selangor.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan bahawa SUKMA 2026 akan menjadi cabaran sebenar bagi kontinjen Sarawak dalam usaha mengekalkan status sebagai kuasa besar sukan di Malaysia.
“Tahun depan, SUKMA akan berlangsung di Selangor dan ini adalah ujian utama untuk kita. Tahun lalu, selepas 33 tahun, kita berjaya membawa pulang gelaran juara keseluruhan.
“Jika kita membuat persiapan rapi, saya percaya di mana sahaja atlet Sarawak ditempatkan, kita boleh berjaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Kenangan Menggamit Jiwa Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) 2025 di sini, malam ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu, Setiausaha Tetap MYSED, Morshidi Fredrick, serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) merangkap Pemangku Pengarah Majlis Sukan Sarawak (MSNS) Khairul Nizam Morshidi.
Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran Sukan SEA 2027, Abdul Karim memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada 26 Februari ini bagi membincangkan rangka kerja serta persiapan yang perlu dilakukan oleh Sarawak sebagai salah satu daripada tiga negeri tuan rumah bersama, selain Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
“Kita bersedia dan yakin dengan kemampuan kita dan inilah sebabnya kementerian serta agensi berkaitan perlu bersiap siaga.
“Kita tidak boleh hanya berani menganjurkan acara di peringkat negeri sahaja. Kita mesti mampu menganjurkan kejohanan bertaraf dunia. Hanya dengan cara ini kita boleh membuktikan bahawa Sarawak telah mencapai tahap sebuah negeri yang benar-benar menjadi kuasa besar sukan di Malaysia,” tambahnya.
MYSED turut bersiap sedia untuk menganjurkan Sukan Borneo yang dijangka berlangsung selepas Ogos ini.
Dalam majlis itu, seramai 25 kakitangan MYSED menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2024.
Majlis itu turut meraikan 12 kakitangan yang bersara serta empat lagi yang berpindah ke jabatan kerajaan lain. — TVS