KUCHING, 21 Feb: Seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas mengalami sesak nafas dalam insiden kebakaran di Lorong 2A1, Kampung Siol Kandis, Petra Jaya di sini, kira-kira jam 12 tengah malam tadi.
Ketika kejadian, mangsa dilaporkan berusaha membantu mengalihkan barang di rumah yang terbakar sebelum mengalami sesak nafas dan hipotermia.
Ia dipercayai akibat kepulan asap api yang membakar kediaman tersebut.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata unit kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya telah memberi rawatan awal kepada mangsa ketika kejadian.
“Kita dapati terdapat seorang mangsa lelaki berusia lingkungan 20-an mengalami sesak nafas dan kesejukan melampau.
“Pasukan bertindak memberi bantuan pernafasan, dan mangsa berada dalam keadaan sedar dan stabil.
“Selepas itu, pasukan EMRS menghantar mangsa ke HUS dengan menggunakan jentera EMRS BBP Batu Lintang untuk tindakan rawatan lanjut,” menurut kenyataan jurucakap itu.
Mengulas tentang kebakaran, dia memaklumkan bahawa kebakaran melibatkan tiga rumah jenis tidak kekal.
“Dua buah rumah masing-masing dianggarkan bersaiz 20 kali 20 kaki persegi terbakar 100 peratus, manakala sebuah lagi kediaman yang terlibat dianggarkan bersaiz 20 kali 30 kaki persegi terjejas 10 peratus,” katanya.
Api berjaya dikawal menerusi tindakan hasil enam pancutan 400 kaki pam jentera serta dua aliran salur bantu mula untuk memastikan api tidak lagi merebak dan padam sepenuhnya.
Insiden itu menjejaskan 17 penghuni di bawah tiga ketua isi rumah. -TVS