KAPIT, 21 Feb: Program Jelajah Malaysia Digital (JMD) @ Kapit membawa visi besar untuk memperkasakan masyarakat luar bandar Sarawak menerusi teknologi digital.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, program tersebut juga bertujuan untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital secara inklusif dan mampan di seluruh negara.
“Hari ini di Kapit, pelbagai inisiatif diperkenalkan untuk meningkatkan kesedaran rakyat mengenai kepentingan digital dalam memacu ekonomi. Program ini membantu rakyat meningkatkan kemahiran digital serta menangani kos sara hidup melalui teknologi terkini.
“Sasaran utamanya termasuk golongan B40, belia, PMKS, warga emas dan komuniti yang memerlukan seperti OKU,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Jelajah Malaysia Digital (JMD) @ Kapit, di Kapit Square, di sini, hari ini.
Menurut Wilson, tahun lalu Kementerian Digital melalui MDEC menganjurkan siri Jelajah Saya Digital (JSD) yang bertujuan meningkatkan kemahiran digital rakyat Malaysia yang memberi penekanan dalam membantu kehidupan seharian dan meningkatkan sumber pendapatan melalui pendigitalan.
“Melalui siri JSD ini, kami telah menjelajah ke seluruh Malaysia dan termasuk Sarawak iaitu di Kapit, Kuching dan Miri. Dan hari ini, kami kembali semula ke Kapit bagi menjayakan program Jelajah Malaysia Digital pula. Ini membuktikan Kementerian komited dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran rakyat akan kepentingan digitalisasi,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, program seperti eUsahawan dan MyDigitalMaker juga memberi peluang kepada rakyat untuk memantapkan kemahiran digital mereka.
Sejak 2015, lebih 564,629 peserta dilatih melalui eUsahawan dengan nilai jualan terkumpul RM1.26 bilion manakala MyDigitalMaker mendedahkan lebih 2.5 juta pelajar kepada dunia digital.
Wilson menjelaskan, digitalisasi bukan sekadar pilihan tetapi satu keperluan dan melalui kerjasama pelbagai pihak, inisiatif tersebut diharap dapat memperkasakan masyarakat Sarawak dalam memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan daya saing, inovasi dan ekonomi mampan. – TVS