KUCHING, 21 Feb: Sarawak komited dalam membangunkan kenderaan elektrik (EV) sebagai sebahagian daripada inisiatif menuju pengangkutan mampan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, peta hala tuju EV di negeri ini masih pada peringkat awal namun pelbagai usaha sedang diambil bagi memastikan penggunaan tenaga hijau diterapkan secara berkesan dalam sektor pengangkutan.
“EV akan menjadi salah satu bidang yang kita lihat dengan lebih mendalam. Walaupun kita memberi tumpuan kepada kenderaan berkuasa hidrogen seperti bas hidrogen, kita juga sedang meneliti penggunaan EV, bukan hanya untuk kenderaan darat tetapi juga kapal dan bot,” katanya ketika ditemui media pada Persidangan Inovasi Perniagaan dan Teknologi (BIT25) di sini, hari ini.
Menurutnya, perkembangan pesat dalam teknologi pengecasan pantas EV dan pelaburan tempatan dalam sektor tersebut akan membantu Sarawak dalam membangunkan infrastruktur diperlukan.
“Persidangan hari ini sangat berguna kerana ia turut mempromosikan pengecas EV pantas dan ada juga pelaburan tempatan dalam bidang ini.
“Semua ini akan membantu dalam hala tuju kita ke arah penggunaan tenaga hijau untuk kenderaan dan kapal,” ujarnya.
Beliau berkata, ia masih dalam peringkat kajian kerana jumlah pemilikan EV di wilayah ini masih rendah.
“Kita masih mengkajinya kerana jumlah EV di Sarawak masih sangat kecil. Kita juga perlu melihat trend masa depan sebelum menetapkan sebarang sasaran spesifik.
“Apabila kita bercakap mengenai pendigitalan, ia juga berkait dengan teknologi angkasa dan komunikasi. Pengangkutan pintar, lampu isyarat pintar, bandar pintar, semuanya berkaitan dengan pendigitalan. Malah kini, kita juga bercakap mengenai trak sampah pintar,” jelasnya.
Menurutnya, Sarawak komited dalam membangunkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan menerusi latihan dan pembangunan bakat dalam pelbagai sektor.
“Kita perlu memastikan tenaga kerja kita future-ready terutamanya dalam bidang AI dan teknologi satelit,” katanya.-TVS