KUCHING, 21 Feb: Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud merupakan individu yang instrumental dalam menubuh dan mengukuhkan Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA).
Pengerusi STA, Datuk Henry Lau Lee Kong, berkata, Tun Abdul Taib bukan sahaja menubuhkan persatuan ini, malah memastikan ahli industri mempunyai platform untuk menyuarakan pandangan mereka.
“Ia supaya dapat bekerjasama dalam aspek operasi perhutanan, dasar perhutanan, dan perkara lain yang berkaitan.
“Tanpa beliau, saya boleh katakan dengan yakin bahawa kita tidak akan mempunyai persatuan seperti hari ini, termasuk bangunan ini, dan juga segala usaha yang telah dilakukan dalam tempoh 20 tahun lalu,” katanya.
Beliau ditemu bual media selepas Majlis Memperingati Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Wisma STA di sini, hari ini.
Sementara itu, anak kepada Tun Abdul Taib, Datuk Hanifah Hajar Taib, berkata arwah bapanya sentiasa menitikberatkan keseimbangan antara pembangunan dengan pemeliharaan alam sekitar.
“Banyak ideanya kita lihat sebagai sesuatu yang sangat penting untuk pembangunan lestari generasi akan datang.
“Kami amat menghargai penghormatan ini.
“Saya percaya ramai yang tidak mengetahui sumbangan ayah kami dan segala perkara yang telah dilakukannya,” kata Timbalan Menteri Ekonomi itu.
Justeru, beliau berharap panduan yang telah diberikan oleh allahyarham sebelum ini akan terus berkembang dan memberi manfaat kepada Sarawak serta alam sekitar. -TVS