KUCHING, 21 Feb: Tindakan tegas boleh diambil sekiranya didapati peniaga menukarkan bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) kepada tunai.
Peringatan ini dikeluarkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sambil memaklumkan bahawa peniaga yang berbuat demikian boleh dibatalkan lantikan sebagai penyedia perkhidmatan S Pay Global – SKAS.
“Bagi penerima pula mereka boleh disenarai hitam daripada menerima bantuan pada masa akan datang,” demikian poster yang disiarkan UKAS menerusi Facebook rasmi mereka, hari ini.
SKAS merupakan satu inisiatif baharu bantuan kewangan Kerajaan Sarawak yang bertujuan meringankan beban golongan berpendapatan rendah yang terjejas akibat kenaikan kos sara hidup.
Bantuan yang diumumkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, November lepas itu mula disalurkan kepada para penerima secara berperingkat bermula 18 Februari lepas.
Di bawah SKAS, Kerajaan Sarawak menyasarkan 886,288 penerima dengan peruntukan RM450 juta.
Sejajar dengan matlamat kerajaan untuk memperkasakan perkhidmatan digital, SKAS disalurkan kepada para penerima menerusi perkhidmatan e-dompet, S Pay Global.