MIRI, 21 Feb: Pasar Batu Niah yang mula beroperasi pada Disember tahun lalu menyediakan kemudahan lebih selesa kepada penjaja tempatan dan menjadi daya tarikan baharu bagi pelancong ke kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus berkata, pasar tersebut dibuka secara berperingkat dengan peniaga di tingkat bawah dibenarkan beroperasi terlebih dahulu manakala peniaga di tingkat atas masih dalam proses pemilihan.
“Tapi sebenarnya kita dah benarkan boleh digunakan bermula pertengahan Disember. Jadi kita secara perlahan melihat bahawa majlis membenarkan peniaga untuk mula berniaga terutama di bahagian bawah. Pada pertengahan Disember yang atas masih lagi memilih peniaga-peniaga yang layak dan bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi TVS hari ini.
Pasar dua tingkat tersebut menampung peniaga barangan basah dan sayur-sayuran di tingkat bawah manakala tingkat atas menempatkan gerai makanan dan minuman.
Rosey yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak turut menzahirkan rasa lega kerana projek tersebut berjaya disempurnakan selepas tertangguh akibat pandemik COVID-19.
Pasar Tamu Batu Niah yang menelan belanja lebih RM4 juta dirasmikan pada 11 Januari lepas. – TVS