KUALA LUMPUR, 21 Feb: Kerajaan akan menumpukan promosi di pelbagai pasaran dalam usaha untuk melonjakkan lagi sektor pelancongan negara.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, sebelum ini dua negara utama iaitu China dan India telah menyumbang kepada lonjakan kemasukan pelancong.
Kata beliau langkah kerajaan memberi pengecualian visa kepada pelancong dari dua negara paling padat di dunia itu terbukti memberi kesan positif kepada pertumbuhan pelancongan Malaysia.
“(Namun pada masa sama) kementerian juga member perhatian kepada industri pelancongan mesra Muslim, yang semakin mendapat perhatian global.
“Ini merupakan satu pasaran yang besar dan oleh sebab itu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Datuk Seri Tiong King Sing) mahu kita tembusi secara agresif.
“Ini memberi peluang yang cukup baik kerana negara kita menyediakan pelbagai kemudahan ke mesra Muslim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Ulang Tahun ke-140 Royal Selangor, di Royal Selangor Visitor Centre, hari ini.
Sementara itu beliau berkata, pihaknya mendapati terdapat peralihan ketara berbanding dengan cita rasa pelancong berbanding sebelum pandemik COVİD-19.
“Pelancong kini lebih memilih untuk melihat dan merasai pengalaman sebenar di destinasi yang mereka lawati.
“Pengalaman yang mereka mahukan itu perlu kita wujudkan,” katanya.
Dalam pada itu , beliau turut memuji kejayaan Royal Selangor dalam memperkenalkan produk seni yang mencapai kejayaan yang luar biasa.
“MOTAC harap dapat memperluaskan kerjasama dengan Royal Selangor serta pihak pihak lain di untuk kita mengembangkan lagi seni di negara kita,” katanya.-TVS