MIRI, 21 Feb: Sindiket penyeludupan rokok di Miri yang menggunakan modus operandi menyembunyikan rokok di premis tinggalan dalam kawasan ladang kelapa sawit, berjaya ditumpaskan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi satu serbuan pada 15 Januari lalu.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Norizan Yahya berkata sejumlah 780,000 batang rokok putih dan 1,574,400 batang rokok kretek pelbagai jenama telah dirampas Unit Operasi Darat Stesen Miri JKDM dalam serbuan di lokasi yang terletak kira-kira 16 kilometer (km) dari Pusat Bandaraya Miri.
“Anggaran nilai sitaan adalah RM267,216 manakala duti atau cukai yang terlibat dianggarkan sebanyak RM1,580,625.60. Anggaran keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM1,847,841.60,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Norizan, jumlah itu sekali gus menjadikan ia rampasan terbesar dilakukan JKDM Sarawak setakat ini.
Kes tersebut kata Norizan, masih dalam siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu di bawah Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976 – Cubaan Mengelakkan dengan Fraud Duti Eksais, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti eksais atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali amaun duti eksais atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Norizan menjelaskan kejayaan tersebut merupakan hasil usaha kolaborasi strategik antara unit, cawangan dan bahagian di JKDM Sarawak, sekali gus mencerminkan komitmen JKDM Sarawak dalam mencapai matlamat melalui tadbir urus yang cekap dan berintegriti di setiap peringkat aktiviti penguatkuasaan.
Usaha itu diperkukuh dengan penggunaan teknologi terkini yang menyumbang kepada peningkatan hasil, pengurangan ketirisan serta pembanterasan aktiviti penyeludupan barangan terlarang.
Tegas Norizan, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.
Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“JKDM juga menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” ujarnya.