Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr Hazami Jahari ketika sesi temu bual bersama Bernama Radio bertajuk “Jualan Gudang Mega 2025” di Wisma Bernama pada 23 Januari 2025. Foto Bernama

DBP anjur simposium martabat penggunaan bahasa kebangsaan dalam perundangan

ByBernama

KUALA LUMPUR, 21 Feb: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan dalam Bidang Undang-undang pada 27 Feb ini bagi memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor perundangan, kata Ketua Pengarahnya Dr Hazami Jahari.

Beliau berkata simposium yang akan berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP itu, menjadi platform membincangkan pelbagai aspek berhubung penggunaan bahasa kebangsaan dalam bidang perundangan terutama di mahkamah.

“Oleh sebab itu, kita jemput pelbagai pihak dalam bidang ini antaranya wakil jabatan kehakiman, ahli akademik dan pengamal undang-undang untuk berbincang bagaimana kita dapat mengupayakan bahasa Melayu untuk digunakan sepenuhnya dalam sektor ini.

“..dengan harapan kita akan cari penyelesaian dan cuba mengangkat dan melaksanakan penyelesaian berkenaan berdasarkan tahap-tahap yang diperlukan,” katanya ketika ditemui selepas sesi temu bual bersama Bernama Radio sempena sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2025, hari ini.

Selain itu, Hazami berkata DBP melalui Jawatankuasa Istilah Semasa, terus komited dalam memperkasakan penggunaan bahasa Melayu di pelbagai sektor, dengan memberi tumpuan khusus kepada penciptaan istilah-istilah baharu yang selaras dengan perkembangan terkini.

“Apabila timbul pertanyaan mengenai pelbagai istilah baharu yang wujud maka, jawatankuasa ini akan menentukan istilah mana yang lebih tepat misalnya istilah-istilah dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan kecerdasan buatan (AI).

“Dalam konteks pembentukan istilah, pakar-pakar kami akan berbincang dengan pakar dalam bidang-bidang berkenaan. Kami akan bersidang dua kali sebulan untuk melahirkan istilah-istilah yang ditanyakan pihak luar atau apabila ada bidang baharu muncul dalam negara,” katanya.

Mengenai sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2025 hari ini, beliau berkata ia merupakan peringatan penting kepada masyarakat agar sentiasa menghargai dan berusaha memelihara penggunaan bahasa ibunda dalam kehidupan seharian.

Sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa yang diadakan pada 21 Feb setiap tahun bertujuan meraikan kepelbagaian budaya dan bahasa di seluruh dunia. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan