KUALA LUMPUR, 21 Feb: Seorang pengarah syarikat pembinaan bergelar Datuk berputih mata selepas kerugian lebih RM26 juta akibat terperdaya dengan skim pelaburan mata wang kripto.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, skim pelaburan itu dikendalikan seorang lelaki mendakwa dirinya sebagai Profesor Stanley Lim.
Jelas beliau, mangsa melihat iklan pelaburan melalui aplikasi UVKXE menerusi carian Google dan menekan pautan yang disertakan sebelum dimasukkan ke dalam group aplikasi WhatAps.
“Lelaki itu yang terpedaya dengan janji keuntungan lumayan ditawarkan telah memuat turun aplikasi UVKXE bagi memulakan pelaburan.
“Bermula 17 Oktober 2024 hingga 24 Disember 2024, mangsa telah membuat sembilan pindahan wang ke sembilan akaun bank yang didaftarkan atas pelbagai syarikat yang melibatkan keseluruhan pindahan lebih RM26 juta,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa yang membuat semakan pada bulan lepas mendapati akaun pelaburannya telah mencatatkan keuntungan melebihi USD 269 juta.
“Namun apabila ingin mengeluarkan keuntungan, mangsa diarahkan untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM5.56 juta atas alasan cukai,” katanya.
Jelas Ramli berdasarkan siasatan polis, lima akaun milik syarikat yang digunakan turut disiasat bersabit 38 kes penipuan lain.
“Setakat ini sejumlah 46 laporan polis diterima berkaitan skim penipuan pelaburan UVKXE dengan nilai keseluruhan melebihi RM61 juta,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -TVS.