Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Jurulatih Pasukan Hoki Malaysian University, Ikmal Abdul Jabar (kanan) bersama ketua jurulatih Pasukan Hoki Blur Warriors, Megat Azrafiq Megat Termizi bersama Piala Vivian May Soars pada sidang akhbar menjelang Final Piala TNB dan Piala Vivian May Soars di Stadium Hoki Bukit Jalil, hari ini. Foto Bernama

Blue Warriors tidak letak tekanan tinggi kepada pemain

ByBernama

KUALA LUMPUR, 21 Feb: Ketua jurulatih skuad Blue Warriors Megat Azrafiq Megat Termizi enggan meletakkan tekanan kepada anak buahnya dalam memburu gelaran juara Piala Vivian May Soars 2025 dalam aksi final wanita Liga Hoki Malaysia (MHL) menentang Malaysian University (MU) esok.

Meskipun menyedari bahawa skuad juara bertahan MU menunjukkan peningkatan prestasi, Megat Azrafiq berkata beliau hanya mahu anak buahnya menikmati setiap perlawanan tanpa sebarang tekanan, memandangkan ini merupakan aksi Piala Vivian May Soars terakhir buat rata-rata pemain kendaliannya.

“Saya menjangkakan akan ada aksi sengit dalam final ini. Cuma dari segi pemain, saya tidak mahu memberi tekanan untuk memburu kejuaraan. Saya lebih fokus kepada kesungguhan dan keinginan mereka.

“Rata-rata pemain akan beraksi dalam final buat kali terakhir, jadi saya mahu mereka menikmati saat ini dan memberikan yang terbaik. Jadi, mereka akan bermain tanpa tekanan,” katanya pada sidang media Piala Vivian May Soars 2025 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Blue Warriors berjaya mara ke final selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Qnet Phoenix pada separuh akhir Rabu lepas manakala MU menewaskan Negeri Sembilan 3-0 untuk menempah slot ke final.

Sementara itu, ketua jurulatih MU Ikmal Abdul Jabar berkata beliau tidak meletakkan sasaran untuk memburu kejuaraan kerana pasukannya kini lebih menumpukan kepada pembangunan, memandangkan rata-rata pemainnya merupakan muka baharu bagi musim ini.

“Untuk tahun ini, kami lebih kepada projek pembangunan. Kami bermula agak lambat dalam liga dan sudah cuba mendapatkan ramuan terbaik. Alhamdulillah, perancangan menjadi dan kami semua gembira dengan apa yang telah dicapai hingga berjaya ke perlawanan akhir. Jadi, saya rasa kami sudah mencuba yang terbaik untuk mendapatkan sesuatu dalam musim ini,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan