BAGAIMANA jika takdir menemukan cinta didalam dunia yang didominasi oleh kuasa, dendam dan pengkhianatan?
Jawapannya ada dalam ‘Bila Takdir Melarang Cinta’, drama bersiri iQIYI Original penuh aksi dan emosi ini bakal membawa penonton ke dalam dunia ‘underground’ yang penuh bahaya, yakni dua hati terperangkap dalam cinta penuh konflik dan mustahil digapai.
Penstriman bermula secara eksklusif di platform iQIYI pada 14 Februari 2025.
Menampilkan barisan pelakon hebat seperti Fadlan Hazim, Nadia Brian, Afiq Muiz, Eddy Syahir, Yaakob Abdul Aziz, Datuk Eizlan Yusof, Zarynn Min, Hanna Halim, Faizul Syaharin, Adam Shahz dan Shatirah Amanda, drama ini diarahkan oleh pengarah Shuhaimi Zulkefli, terbitan Metrowealth dan hasil pena kreatif oleh penulis Keetan Brenan.
Di sebalik kesibukan kota Kuala Lumpur, dua kartel jenayah terbesar – keluarga Salim dan keluarga Borhan – bergelut merebut kuasa.
Rayyan (lakonan Fadlan Hazim), anak kepada Salim tekad untuk keluar dan tidak mengikut jejak langkah bapanya, merancang untuk melepaskan diri dari kegelapan yang membelenggu hidupnya.
Menurut Fadlan Hazim, walaupun Rayyan adalah seorang mafia, dia tetap berpegang teguh dengan prinsip hidupnya walaupun dia adalah anak kepada ketua mafia.
Mengulas mengenai keunikan watak Rayyan, beliau menambah, watak Rayyan ni lain daripada yang lain kerana dia mendambakan kehidupan tanpa jenayah, walaupun dia tahu dia akan berdepan risiko dengan menentang bapanya sendiri, yang merupakan Ketua Kartel terbesar di Malaysia.
Hawa (lakonan Nadia Brian), pewaris keluarga Borhan pula bercita-cita untuk mengubah perniagaan gelap bapanya dan mencari tempat di dalam dunia kejam dan penuh dusta.
Ketika diajukan soalan mengenai harapan Nadia Brian terhadap watak Hawa,
“Saya harap semua wanita di luar sana dapat memahami isi hati Hawa dalam drama ini dan kenapa dia sanggup lakukan perubahan dalam hidupnya demi keluarga,” ujarnya.
Namun, apabila sebuah perjanjian damai bertukar menjadi serangan berdarah akibat pengkhianatan, konflik mula tercetus.
Tanpa disedari, Rayyan telah melindungi Hawa – musuh yang sepatutnya dibenci. Di tengah-tengah hujan peluru dan rahsia yang semakin tersingkap, perasaan cinta yang tak sepatutnya mula wujud.
Namun, dalam dunia yakni kepercayaan adalah nilai paling berharga, mampukah mereka bertahan melawan takdir?
Pengurus Besar iQIYI Malaysia dan Singapura, Jony Deng, berkata ‘Bila Takdir Melarang Cinta’ bukan sekadar drama cinta biasa.
“Ia penuh dengan aksi, emosi dan dilema yang pasti akan membuatkan penonton teruja.
“Dengan plot yang mendebarkan, barisan pelakon yang mantap dan kisah cinta yang diuji oleh kepercayaan, dendam dan pengorbanan, saya yakin drama ini akan menjadi kegemaran ramai,” jelasnya.
Jangan lepaskan peluang untuk menontonnya hanya di iQIYI!”