KUCHING, 20 Feb: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yakin Sarawak mampu mencapai sasaran lima juta pengunjung pada tahun ini.
Beliau berkata, Sarawak telah berjaya mencapai sasaran bilangan pengunjung yang memberangsangkan selama tiga tahun berturut-turut.
“Dengan semua program yang kami sediakan untuk tahun ini, sama ada dalam sektor pelancongan, festival muzik atau acara sukan ia akan membantu meningkatkan jumlah ketibaan pengunjung,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Chap Goh Mei MATTA Sarawak di sini, malam tadi.
Di samping itu, beliau yakin dengan pengambilalihan MASwings, Sarawak akan menerima lebih ramai pengunjung pada masa depan.
“Apabila AirBorneo mula beroperasi, kita jangka dapat meningkatkan jumlah pengunjung yang datang ke Sarawak,” tambah beliau.
Menurutnya, kerjasama antara kerajaan dan pihak berkepentingan industri, seperti MATTA, adalah penting untuk memastikan pembangunan pelancongan yang mampan.
“Melalui kerjasama, kerja keras dan inovasi, kita telah melihat kemajuan positif dalam meningkatkan ketibaan pengunjung serta mempelbagaikan produk pelancongan. Ia juga telah mengukuhkan jenama Sarawak sebagai destinasi pelancongan utama,” katanya.
Beliau menambah, seiring dengan kemajuan, kerajaan Sarawak tetap komited untuk meningkatkan infrastruktur pelancongan, mencipta pengalaman baharu yang menarik dan menerima inovasi digital bagi memenuhi keperluan pengembara yang semakin berkembang.
Katanya lagi, kerajaan akan terus menyokong inisiatif pelancongan yang mampan, dengan memastikan bahawa warisan semula jadi, budaya tempatan dan masyarakat tempatan dapat menikmati manfaat daripada pertumbuhan industri ini.