KUCHING, 20 Feb: Sarawak Foreigners Health System (SAFHIS) bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk menangani cabaran medico-perundangan menerusi program From Ethics to Evidence: Mastering Medicolegal Challenges in 2025 pada 18 Februari lalu.
SAFHIS menaja 50 pelajar perubatan tahun akhir Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UNIMAS dalam program bersama doktor serta profesional perubatan.
Menurut kenyataan SAFHIS, program tersebut memberikan peserta pemahaman menyeluruh mengenai rangka kerja perundangan yang mengawal amalan perubatan, merangkumi topik penting seperti perundangan utama, peraturan dan prinsip bioetika.
“Tumpuan khas diberikan kepada aspek keizinan termaklum, kecuaian klinikal serta pertimbangan etika dalam penyelidikan perubatan.
“Selain itu, kursus ini turut membincangkan implikasi kegagalan mendapatkan keizinan serta memberikan pandangan mendalam mengenai kecuaian klinikal dan aspek penting dalam amalan perubatan yang sering kali kompleks dan terus berkembang,” menurut kenyataan itu.
Penglibatan SAFHIS dalam program tersebut bertujuan memupuk pemahaman lebih mendalam mengenai hubungan antara undang-undang, etika dan amalan perubatan.
Menurut kenyataan tersebut, ia penting bagi mempersiapkan bakal profesional penjagaan kesihatan untuk menghadapi cabaran dalam kerjaya mereka.
“Sehubungan itu, wawasan seperti ini amat penting dalam memastikan standard tinggi dalam industri perubatan di Sarawak yang mana SAFHIS juga menyumbang ke arah usaha ini melalui Foreign Workers Transformation Approach (FWTA) yang mula berkuat kuasa pada 15 Januari lepas,” menurut kenyataan tersebut.
FWTA merupakan sistem yang direka untuk meningkatkan pengurusan dan kawal selia pekerja asing dengan memperkukuh ketelusan, kecekapan serta pematuhan terhadap undang-undang buruh di samping memastikan amalan buruh yang beretika serta kebajikan pekerja sentiasa terjamin.-TVS