PUTRAJAYA, 20 Feb: Perdagangan Malaysia terus menunjukkan momentum positif pada awal tahun 2025 apabila jumlah dagangan negara meningkat 3.1 peratus kepada RM241.9 bilion berbanding Januari 2024.
Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan eksport dan import, dengan eksport naik 0.3 peratus kepada RM122.8 bilion, manakala import melonjak 6.2 peratus kepada RM119.2 bilion. Walaupun lebihan dagangan menguncup 64.3 peratus kepada RM3.6 bilion, Malaysia masih mencatat lebihan dagangan untuk bulan ke-57 berturut-turut sejak Mei 2020.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, peningkatan eksport sejajar dengan kenaikan eksport domestik.
“Eksport domestik, yang merangkumi 79.4 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 2.9 peratus kepada RM97.5 bilion. Bagaimanapun, eksport semula mencatatkan penurunan 8.7 peratus kepada RM25.3 bilion berbanding Januari 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dari segi pasaran, eksport Malaysia mencatat peningkatan ke beberapa rakan dagang utama, termasuk Amerika Syarikat (+RM3.8 bilion), Singapura (+RM3.4 bilion) dan Taiwan (+RM1.2 bilion). Hong Kong, Kenya, Kanada dan Brunei Darussalam turut merekodkan kenaikan eksport.
Sementara itu, import Malaysia menunjukkan peningkatan ketara, khususnya dari Taiwan (+RM7.2 bilion), Amerika Syarikat (+RM2.6 bilion) dan China (+RM2.4 bilion). Republik Korea, Iraq, Ecuador dan Mexico turut menyumbang kepada peningkatan import.
Peningkatan eksport disokong oleh permintaan tinggi bagi beberapa produk utama, termasuk barangan elektrik & elektronik (+RM6.5 bilion), minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan kelapa sawit (+RM537.8 juta) dan jentera, kelengkapan & peralatan (+RM429.5 juta).
Dalam kategori import, pertumbuhan turut dipacu oleh barangan elektrik & elektronik (+RM13.4 bilion), selain jentera, kelengkapan & peralatan (+RM808.3 juta) dan keluaran pertanian lain (+RM636.7 juta).
Mengikut kategori penggunaan akhir, permintaan terhadap barangan modal meningkat 45.9 peratus kepada RM20.0 bilion, menunjukkan pelaburan dalam sektor pembuatan dan industri terus berkembang.
“Peningkatan ketara dalam import barangan modal serta barangan perantaraan menunjukkan ekonomi negara terus berkembang dengan permintaan yang kukuh dalam sektor pembuatan,” jelasnya.
Sebaliknya, import barangan penggunaan mengalami sedikit penyusutan 2.6 peratus kepada RM10.1 bilion, mencerminkan perubahan dalam corak perbelanjaan pengguna.