MIRI, 20 Feb: Sambutan Gawai Dayak Miri tahun ini akan dimeriahkan dengan acara Perarakan Gawai Dayak atau Niti Daun yang akan berlangsung pada 3 Mei depan sempena perayaan Hari Gawai yang akan tiba bertemakan Segulai Sejalai Nuju Pemansang.
Ketua Pemuda Persatuan Dayak Miri, Leo Bundan selaku Pengerusi Pengelola berkata, perarakan Niti Daun tahun ini diadakan bermula dari Miri City Fan sejauh 1.5 kilometer dan dijangka akan menarik lebih 5,000 pengunjung.
“Persatuan Dayak Miri diberikan kepercayaan untuk mengetuai sambutan tahun ini. Acara kemuncak termasuk pertandingan Kumang Keligit Dayung Sangon dan Keling Belawan yang akan diadakan pada 17 Mei di Permy Mall manakala peringkat akhir akan diadakan pada 24 Mei di Meritz Hotel dengan hadiah utama sebanyak RM5,000.
“Semua syarat-syarat pertandingan akan dimuatnaik di laman media sosial facebook rasmi Persatuan Dayak Miri,” katanya dalam sidang media sempena Sambutan Gawai Dayak Miri hari ini.
Dalam pada itu, Pemanca Alexandar Isut memaklumkan, acara Niti Daun kali ini akan disertai oleh pelbagai kumpulan etnik dengan pakaian tradisional masing-masing.
“Kali ini semua kumpulan etnik di Miri dijemput untuk turut serta dalam perarakan Niti Daun bukan hanya kaum Iban seperti tahun sebelumnya dan juga akan ada pertandingan untuk menentukan pasukan yang terbaik dalam Niti Daun ini. Setiap pasukan terdiri daripada 20 hingga 30 orang dengan sasaran sebanyak 30 pasukan,” katanya.
Pada masa sama, antara acara lain yang akan diadakan ialah pertandingan karaoke terbuka, anugerah pendidikan kepada pelajar SPM dan STPM, derma darah, pertandingan mewarna dan program outreach.
Sambutan Gawai Miri tahun ini dianjurkan oleh komuniti Dayak di Miri melibatkan Persatuan Dayak Miri, Persekutuan Persatuan-persatuan Orang Ulu Malaysia, Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh Sarawak (DBNA) serta Serakup Induk Dayak Sarawak (SIDS).
Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai program yang diadakan boleh menghubungi Persatuan Dayak Miri di talian 085-435467.-TVS