LUSAKA (Zambia), 20 Feb: Pengeluar zamrud utama Zambia pada Rabu memuji kerajaan atas keputusannya untuk menggantung duti eksport 15 peratus ke atas permata dan logam berharga, lapor Xinhua.
Gemfields, pemegang saham majoriti Kagem Minerals Limited, pengeluar zamrud utama negara itu, memuji kerajaan atas tindak balasnya yang cepat dan mengagumkan terhadap duti eksport 15 peratus.
“Sektor zamrud Zambia memberikan pertumbuhan yang luar biasa sejak 16 tahun yang lalu dan hari ini, dengan margin yang signifikan, merupakan pengeksport zamrud terbesar di dunia,” kata Sean Gilbertson, ketua pegawai eksekutif Gemfields, dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pendekatan kolaboratif dan tindakan tegas kerajaan bertujuan mewujudkan pertumbuhan dan peluang pekerjaan untuk Zambia, sambil berkata langkah itu meletakkan industri kembali ke landasan untuk meneruskan trajektori pertumbuhannya.
Pada Selasa, kerajaan mengumumkan penangguhan duti eksport selepas pemain industri merungut mengenai pengenalan semula duti tersebut. Ia berkata keputusan itu bertujuan untuk membolehkan pengeluar tempatan bersaing dengan lebih berkesan semasa lelongan dan jualan di pasaran global.
Bulan lepas, kerajaan memperkenalkan semula duti eksport, yang pertama kali diperkenalkan pada 2019 tetapi digantung kemudian pada tahun yang sama selepas rundingan dengan pemain industri. – TVS