Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Gambar diambil pada 3 Oktober 2024 di pasar di Karachi, Pakistan. Foto fail AFP

Pakistan perkukuh dasar pelancongan, keselamatan ubah persepsi global

ByBernama

ISLAMABAD, 20 Feb: Pakistan mempergiat langkah keselamatan dan memperkenalkan dasar pelancongan baharu untuk membentuk semula persepsi global dan menempatkan negara ini sebagai destinasi pelancongan yang selamat serta menarik.

Pengarah Bahagian Publisiti Luar Pakistan Muhammad Farrukh Rafiq berkata sejak bertahun-tahun, Pakistan sering dikaitkan dengan konflik kerana kedudukan geografinya yang berdekatan Afghanistan, wilayah yang terkesan akibat peperangan yang melibatkan kuasa besar.

Bagaimanapun, beliau berkata landskap keselamatan di Pakistan semakin bertambah baik sekali gus mewujudkan persekitaran lebih kondusif untuk pelancong domestik dan antarabangsa.

“Situasi keselamatan di bandar-bandar utama adalah sangat baik, dan orang ramai bebas bergerak.

“Pada 2020, kira-kira 300,000 pelancong asing melawat Pakistan manakala pada tahun lepas lebih 10 juta pelancong tempatan mengunjungi kawasan di utara. Ini menunjukkan pertumbuhan ketara dalam sektor pelancongan negara,” katanya kepada Bernama.

Bercakap selepas pembentangan bertajuk ‘Pakistan’s Untold Stories: Unveiling Pakistan’s Tourism Potential’ sempena program pertukaran media/lawatan wartawan dari negara anggota ASEAN, Muhammad Farrukh mengetengahkan pelbagai langkah yang diambil untuk menarik lebih ramai pelawat.

Beliau berkata Pakistan telah memperkenalkan dasar visa yang lebih mesra pelancong, termasuk visa semasa ketibaan untuk kebanyakan negara dan pemansuhan fi visa untuk menggalakkan ketibaan lebih ramai pelawat antarabangsa.

“Kerajaan juga banyak melabur dalam pembangunan infrastruktur dan memperkukuh keselamatan untuk menjadikan Pakistan lebih menarik kepada pelancong antarabangsa,” katanya.

Menyedari pengaruh media sosial yang semakin meluas dalam membentuk persepsi, Pakistan turut menggalakkan pelancong berkongsi pengalaman mereka secara dalam talian yang mempamerkan keindahan landskap negara ini, kekayaan warisan budaya dan pelbagai pengalaman pelancongan yang ditawarkan.

Sementara itu, dalam usaha memastikan persekitaran lebih selamat untuk pelancong dan pelabur, Pakistan giat terlibat dalam rundingan dengan Afghanistan bagi mengekang kumpulan yang menimbulkan ancaman keselamatan.

Terdahulu, seramai 23 wartawan dari negara anggota ASEAN dan Timor-Leste berada di Islamabad untuk menyertai program pertukaran/lawatan media, satu inisiatif yang bertujuan mengukuhkan kerjasama media antara kedua-dua wilayah.

Berlangsung dari 17 hingga 22 Feb, program itu anjuran Kementerian Penerangan dan Penyiaran Pakistan dengan sokongan Sekretariat ASEAN. Beberapa siri aktiviti telah disusun untuk meningkatkan penglibatan profesional dan kerjasama media rentas sempadan.

Acara utama sempena lawatan itu, termasuk sesi latihan media di Akademi Perkhidmatan Maklumat di Islamabad dan melawat institusi utama seperti Kementerian Penerangan dan Penyiaran, Rangkaian Televisyen Pakistan dan Pihak Berkuasa Kawal Selia Media Elektronik Pakistan.

Inisiatif berkenaan memperlihatkan komitmen Pakistan untuk mengukuhkan hubungan dengan negara-negara ASEAN dalam pertukaran media serta maklumat selain menyediakan platform bagi wartawan memahami dengan lebih mendalam tentang landskap media, rangka kerja kawal selia dan kepelbagaian budaya Pakistan.

Program berkenaan dijangka merintis laluan kepada kerjasama media ASEAN-Pakistan yang lebih erat, perkongsian maklumat lebih meluas dan ekosistem media serantau yang saling berkaitan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan