KUCHING, 20 Feb: Kementerian Perpaduan Negara memuji kerjasama strategik yang terjalin dalam usaha memperkukuh jaringan kesukarelawanan belia di peringkat serantau, sejajar dengan aspirasi negara untuk membentuk masyarakat yang harmoni dan maju.
Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang, berkata pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan Kesatuan Belia Ho Chi Minh City menjadi langkah penting dalam memperkasakan peranan belia sebagai ejen perpaduan.
“Kerjasama ini bukan sekadar memperluaskan jaringan sukarelawan belia, tetapi juga membentuk ekosistem latihan dan pembangunan kepimpinan yang lebih sistematik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa Malam Penghargaan Rakan Strategik YSS yang turut menyaksikan MoU dimeterai antara YSS dan beberapa organisasi lain, termasuk Jabatan Wilayah Persekutuan, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Majlis Belia Malaysia dan Yayasan Perkasa Siswa, pada Rabu.
Tambahnya usaha ini selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2024 dengan tema “Keterangkuman dan Kelestarian”, yang menekankan kepentingan pembangunan sosio-ekonomi secara mampan di peringkat serantau.
“Malaysia komited dalam membawa harapan, kestabilan dan kemajuan kepada rantau ini melalui usaha kolektif yang melibatkan pelbagai sektor,” katanya.
Menurutnya, YSS terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan belia melalui inisiatif kesukarelawanan dan pembangunan kepimpinan yang berkesan.
“Di bawah Kementerian Perpaduan Negara, YSS menghubungkan pembangunan belia dengan rangkaian organisasi kesukarelawanan global, sejajar dengan matlamat pengantarabangsaan program ini,” tambahnya.
Sejak penubuhannya, YSS telah melaksanakan 73 misi berimpak tinggi, termasuk 19 misi kesukarelawanan antarabangsa ke beberapa negara ASEAN seperti Indonesia, Vietnam dan Lao PDR.
Selain itu, lebih 8,000 projek komuniti telah dijalankan, memberi manfaat kepada lebih 1 juta penerima manfaat di dalam dan luar negara.
“Kerjasama strategik ini adalah bukti bahawa belia memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang lebih inklusif, lestari dan progresif,” katanya.
Kerjasama antara YSS dan Kesatuan Belia Ho Chi Minh City telah bermula sejak 2012, menjadi contoh model bagi negara-negara ASEAN dalam memperkasakan peranan belia sebagai pemimpin masa depan.
Setakat ini, 509 sukarelawan siswa YSS telah dihantar ke Vietnam untuk melaksanakan pelbagai program kesukarelawanan, termasuk pembangunan komuniti dan program pertukaran ilmu. – TVS