PETALING JAYA, 20 Feb: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, enggan mengulas desas -desus berhubung kerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kembali kosong selepas penyandangnya Giorgio Pompili Rossi, dikhabarkan tidak lagi memegang portfolio itu lagi.
Menurut Hannah, beliau masih tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai perkara itu sehingga kini.
“Saya tidak tahu mengenai khabar itu. Setakat ini masih belum menerima maklumat berhubung berita itu.
“Mintak maaf, saya tidak dapat ulas hal tersebut,” katanya ketika disoal pemberita pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Program Pembangunan Sukan Olimpik di Hotel Grand Dorsett Subang, SS 12, di sini, hari ini.
Sebelum ini, beberapa portal media tempatan mendakwa jodoh Rossi bersama MFL hanya bertahan selama enam bulan selepas dilaporkan sudah mengosongkan pejabatnya.
Terbaharu, MFL mengesahkan Pompili Rossi tidak lagi bersama pengendali Liga Malaysia itu.
Menurut kenyataan media, kedua – dua pihak kini dalam proses perbincangan untuk tindakan seterusnya.
“Buat sementara, operasi sekretariat MFL akan diterajui oleh Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd,” jelas MFL menerusi kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan hala tuju jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Hannah berkata, pihaknya akan memaklumkan perkara itu kelak.
“Saya sudah jumpa dengan beliau dengan kita telah adakan perbincangan yang bagus.
“Kita sedang meneliti hasil perbincangan tersebut dan apabila sampainya masa nanti, kita umumkan bersama beliau,” katanya.
Disember lepas, atlet berusia 37 tahun itu dilaporkan akan mengadakan pertemuan dengan Hannah sebelum memberi kata putus berhubung masa depannya. – TVS