Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sejak 19 Jan, gencatan senjata telah berkuat kuasa di Gaza susulan perjanjian antara Israel dan Hamas bagi pembebasan rakyat Israel yang ditawan sebagai pertukaran dengan pembebasan tahanan Palestin dari penjara Israel. Foto fail AFP

Dunia perlu sokong pelan pembangunan semula Gaza tanpa pemindahan penduduk – Presiden Mesir

ByBernama

KAHERAH, 20 Feb: Masyarakat antarabangsa perlu menyokong pelan pembangunan semula Gaza tanpa memindahkan penduduk Palestin, kata Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi pada Rabu.

Pada 12 Feb lepas, Mesir mengumumkan hasrat untuk membentangkan satu visi bagi pembangunan semula Gaza dalam masa terdekat, yang akan memastikan kelangsungan kewujudan rakyat Palestin di tanah mereka.

Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty berkata negaranya sedang merangka satu konsep menyeluruh dan berperingkat bagi pembangunan semula wilayah itu.

“Kami menekankan kepentingan masyarakat antarabangsa menyokong pelan pembangunan semula Gaza tanpa memindahkan rakyat Palestin,” kata al-Sisi dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez di Madrid, seperti yang dipetik Sputnik.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada awal Februari mencadangkan bahawa Washington boleh “mengambil alih” Gaza dan membangunkannya menjadi “Riviera Timur Tengah.”

Pada masa yang sama, beliau menggambarkan Gaza sebagai “tapak kemusnahan” dan pernah mencadangkan penduduknya berpindah secara tetap ke negara lain, dengan Jordan dan Mesir sebagai antara destinasi yang dicadangkan.

Trump juga tidak menolak kemungkinan tentera Amerika Syarikat dihantar ke Gaza.

Cadangan itu disokong oleh Menteri Luar Israel Gideon Saar yang menyifatkan Gaza sebagai “penyelidikan yang gagal,” namun kumpulan Palestin Hamas, Mesir, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi menolak sepenuhnya idea pemindahan penduduk Gaza.

Sejak 19 Jan, gencatan senjata telah berkuat kuasa di Gaza susulan perjanjian antara Israel dan Hamas bagi pembebasan rakyat Israel yang ditawan sebagai pertukaran dengan pembebasan tahanan Palestin dari penjara Israel. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan